JSJ Sarawak catat rekod rampasan terbesar setakat ini, RM263,730 dirampas dalam 54 serbuan

Anggota polis melakukan serbuan di salah satu premis perjudian haram.
Advertisement

KUCHING, Jun 4: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak merekodkan rampasan terbesar setakat ini dalam memerangi aktiviti perjudian haram apabila berjaya merampas wang tunai berjumlah RM263,730 hasil serbuan dari Mei 28 lalu hingga semalam.

Ketua JSJ Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, wang tunai yang disyaki hasil aktiviti perjudian haram itu dirampas menerusi 54 serbuan berasingan yang dilakukan di 17 buah daerah di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, antara daerah yang terlibat dalam serbuan itu ialah Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Bau, Mukah, Bintulu, Sri Aman, Limbang, Seratok, Matu Daro, Lundu, Song, Maradong, Marudi dan Sarikei.

Advertisement
Anggota polis melakukan serbuan di salah satu premis perjudian haram.

“Menerusi semua serbuan itu, polis berjaya memberkas 79 individu yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 63 tahun.

“Sejumlah 33 serbuan dilakukan membabitkan premis menjual nombor loteri haram, manakala 17 serbuan di pusat judi siber dan empat serbuan di tempat judi terbuka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dennis menambah, polis juga merampas 19 unit telefon bimbit, dua komputer riba, slip pertaruhan, dua set judi holo serta barangan lain yang digunakan dalam jenayah itu.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement