Cemas iguana atas pagar rumah

Anggota APM menunjukkan iguana yang ditangkap.

MIRI, Jun 4: Kehadiran seekor iguana di atas pagar sebuah rumah di Jalan Pujut 3B di sini telah menyebabkan pemilik kediaman berkenaan cemas dalam satu kejadian petang semalam.

Panik melihat iguana itu, pemilik rumah yang berusia 52 tahun kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan berhubung penemuan iguana itu pada pukul 5.38 petang.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, tiga anggota APM kemudian diarahkan bergegas ke rumah pengadu.

“Apabila tiba di lokasi anggota APM mendapati terdapat seekor iguana di atas pagar rumah pengadu.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap iguana tersebut dengan menggunakan alat penjerut khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap iguana itu.

Jelasnya, iguana tersebut tidak bertindak agresif ketika anggota APM melakukan operasi khas itu.

“Iguana itu kemudian dibawa ke PKOD untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily