JPVS kini mempunyai makmal diagnosa penyakit rabies tersendiri

A file photo of a mass rabies vaccination programme at Kuching.

KUCHING, Ogos 25: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) kini sudah membuka sebuah makmal pengujian sampel penyakit rabiesnya sendiri bagi membolehkan ujian mengesan penyakit itu dilakukan segera.

Wakil jabatan Dr Jackie Peter mendedahkan pembukaan Makmal Diagnosa JPVS itu terletak di Jalan Dato Mohd Musa, Muara Tuang, dan sudah lengkap segala peralatannya untuk beroperasi baharu-baharu ini.

“Makmal terbabit membolehkan keputusan ujian sampel rabies diperolehi lebih segera berbanding perlu menunggu sehingga dua minggu, sekiranya sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, Perak.


“Purata, kami akan menerima antara 20 hingga 30 sampel seminggu,” katanya ketika mengadakan Program Pemvaksinan Rabies Secara Besar-Besaran di Dewan Masyarakat Kuching, Jalan Padungan di sini, hari ini.

Dr Jackie berkata sampel terbabit termasuklah dari kes gigitan anjing yang dilaporkan pihak hospital kepada jabatan itu dengan sampel kemudian akan segera dilakukan ujian pengesanan rabies di makmal terbabit.

“Disamping itu, kami juga memperolehi sampel terbabit daripada anjing liar dari kawasan wabak rabies,” katanya.

Orang ramai berbaris panjang membawa anjing mereka pada Program Pemvaksinan Rabies Secara Besar-Besaran di Dewan Masyarakat Kuching, Jalan Padungan.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk negeri ini terus menyokong program pemvaksinan rabies terhadap anjing peliharaan mereka dan mendapatkan suntikan vaksin terbabit ketika program berkenaan diadakan JPVS di tempat mereka.

“Pada minggu ini kami hanya mengadakan program di satu tempat sahaja dan menjangkakan memberikan vaksin kepada lebih 1,000 ekor anjing samada yang pertama kali menerima suntikan itu atau suntikan tahunan,” katanya

Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) juga membuka satu kaunter mendapatkan lesen anjing ketika program terbabit dijalankan hari ini. — DayakDaily