JPBNS: Operasi sistem pengangkutan darat dan sungai pada 12 Mei harus patuhi SOP

Bus driver Edry takes his job seriously as he ensures the safe transit of passengers to their destinations. - File photo.

KUCHING, 10 Mei: Sistem pengangkutan darat dan sungai yang dibenarkan beroperasi pada 12 Mei ini perlu mematuhi garis panduan dan prosedur perasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negri Sarawak (JPBNS), menerusi garis panduan yang dikeluarkan semalam, menetapkan pengendali perkhidmatan harus mengutamakan keselamatan kesihatan dan kebersihan yang tinggi.

Operasi sistem pengangkutan darat melibatkan perkhidmatan bas henti-henti, bas wilayah, teksi, kereta sewa dan perkhidmatan e-hailing.


“Waktu operasi yang dibenarkan untuk semua perkhidmatan ini adalah dari jam 7 pagi hingga 11 malam kecuali perkhidmatan bas wilayah yang dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Pengendali perkhidmatan bas (henti-henti dan wilayah) hendaklah memastikan pemandu memakai penutup muka dan perlu menjalani saringan sebelum memulakan tugas,” menurut jawatankuasa tersebut.

Katanya, kapasiti penumpang bas dihadkan pada kadar 50 peratus dengan mengambil kira arahan penjarakan antara individu sekurang-kurangnya 1 meter.

Bas dan fasiliti juga perlu menjalani pembersihan nyahkuman selepas setiap perjalanan serta setelah tamat operasi di depo.

Penumpang perlu memakai penutup muka dan digalakkan membeli tiket secara atas talian serta penggunaan kad transaksi bukan tunai seperti pas bulanan.

SOP perkhidmatan e-hailing mulai 12 Mei yang dikeluarkan JPBNS.

Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, hanya dua orang penumpang dibenarkan pada satu satu masa dan dikehendaki duduk di belakang sahaja.

Selain perlu memakai penutup muka, pemandu dan penumpang digalakkan menggunakan pembersih tangan sebelum dan selepas mengambil dan menurunkan penumpang.

Bagi operasi sistem pengangkutan sungai, waktu operasi dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang.

Pengendali perlu melakukan proses nyahkuman dua kali dalam sehari iaitu pada setiap pagi sebelum bot penambang beroperasi dan pada sebelah petang.

Pengendali perlu mematuhi amalan penjarakan sosial dengan pengosongan tempat duduk diantara penumpang.

Suhu badan penumpang, juragan dan krew bot akan diperiksa sebelum memasuki kabin penumpang.

Semua individu yang memasuki bot diwajibkan memakai penutup muka dan dilarang makan dan minum. Haiwan peliharaan atau binatang dilarang memasuki bot. — DayakDaily