JPBNS diperuntukan RM560 juta bagi memudahkan operasi menangani Covid-19, kata Abang Johari

Abang Johari (dua dari kanan) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang diwakili DCP Mancha Ata.

KUCHING, 25 Sept: Sarawak memperuntukkan RM560 juta kepada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi melaksanakan operasi menangani pandemik Covid-19 yang lalu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM300 juta digunakan bagi tujuan mewujudkan makmal dan membeli peralatan yang diperlukan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan perihatin, Sarawak telah memperuntukan RM300 juta untuk pengoperasian JPBNS.


“Ini telah membantu JPBNS menyedia dan membayar pusat kuarantin, membeli vaksin termasuk peralatan perubatan, mewujudkan makmal perubatan dan keperluan lain bagi memudahkan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Aspirasi Bersama Barisan Hadapan Covid-19 Zon Selatan malam ini yang turut dihadiri Timbalan Premier Merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah.

Selain itu, tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak juga telah membelanjakan sebanyak RM260 juta bagi membayar hotel-hotel yang dijadikan pusat kuarantin di seluruh negeri.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan yang kita memperuntukkan kepada JPBNS ialah RM560 juta,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM6.7 bilion bagi pelaksanaan inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 8.0 dalam tempoh dua tahun ini.

Katanya, inisiatif itu adalah bagi meringankan beban rakyat dari pelbagai golongan yang terkesan khususnya dari sudut pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, JPBNS dalam tempoh pandemik telah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM28 juta termasuk bantuan peralatan perlindungan, peralatan perubatan dan keperluan lain.

Kesemua sumbangan diterima daripada 127 badan yang mewakili kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak korporat, NGO dan individu.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada agensi-agesi terlibat yang merupakan petugas barisan hadapan. — DayakDaily