Uggah: 29 petugas barisan hadapan terkorban semasa pandemik Covid-19

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING, 25 Sept: Seramai 29 petugas barisan hadapan Sarawak terkorban semasa menjalankan tugas memerangi pandemik Covid-19, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, mereka adalah petugas barisan hadapan yang berdedikasi dan bersemangat kental.

“Semua petugas barisan hadapan kita telah melaksanakan tugas dengan baik, mereka menggadaikan keselamatan diri demi memastikan orang lain selamat.


“Disebabkan sumbangan mereka, kita pada hari ini sudah boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Sedihnya, mengikut rekod, terdapat seramai 29 orang petugas barisan hadapan terkorban semasa menjalankan tanggungjawab ini. JPBNS mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa,” kata Uggah.

Beliau berkata demikian di Majlis Aspirasi Bersama Barisan Hadapan Covid-19 Zon Selatan yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada malam ini.

Tambah Uggah, setakat 20 September 2022, Sarawak merekodkan 314,746 kes positif Covid-19 dengan 1,763 kematian.

Berhubung kadar vaksinasi, beliau berkata 86 peratus atau 2,428,289 penduduk negeri ini telah menerima suntikan vaksin dua dos bagi tempoh yang sama.

“Sarawak juga telah melaksanakan suntik dos penggalak yang pertama kepada 90 peratus atau 1,652,142 populasi rakyat yang layak menerima.

“Manakala sejumlah 41,551 orang atau 8.3 peratus yang layak telah menerima suntikan dos penggalak kedua,” kata Uggah. —DayakDaily