JPBNS: 18 rumah panjang dikenakan PKPD di Sarawak

Petugas barisan hadapan yang sedang bertugas di salah satu sekatan jalan masuk ke sebuah kawasan yang dikenakan PKPD dalam foto fail ini.

KUCHING, 15 Sept: Lapan belas rumah panjang di daerah Sri Aman, Sebauh, Subis, Betong, Pakan, Julau, Betong dan Sarikei di antara 19 lokaliti yang diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata, di Sri Aman PKPD melibatkan 7 lokaliti iaitu Rh Buyung di Lepong Simpai, Rh Elie di Sabu, Rh Sparrow Anyan di Bait Baru dan Rh Rose Emma di Temudok Atas mulai 14 hingga 27 Sept.

Tiga lokaliti yang lain ialah Rh Bandi di Kampung Sebangkoi di Undop, Rh Sang di Seduku di Lingga dan Rh Ajon di Kampung Sapak Bubung di Pantu mulai 15 hingga 28 Sept.


“Di Sebauh, PKPD dikenakan di Rh John Damu di Sg Labang mulai 14 hingga 27 Sept.

“Di Subis PKPD melibatkan 2 lokaliti iaitu di Rh Gingdan Mancha di Gudang Atas serta Rh Mokeng Tambom di Gudang Tengah mulai 14 hingga 28 Sept.

“Manakala di Lubok Antu, PKPD dikenakan di Rh Empading di Kampung Bunu di Skrang mulai 15 hingga 28 Sept,” katanya.

Mengulas lanjut, JPBNS berkata 2 lokaliti di Pakan iaitu Rh Andrew Unggon di Ng Darau dan Rh Andrew di Simpang Jarau dikenakan PKPD mulai 15 hingga 28 Sept.

Turut dikenakan PKPD untuk tempoh yang sama ialah Rh Philip Janting di Ulu Bejawai di Julau.

“Tiga lokaliti di Betong iaitu Rh Amin di Saka, Rh. Francis Ajie di Buyong Baru dan Rh Jambai di Kerapa dikenakan PKPD mulai 16 hingga 29 Sept.

“Di Sarikei, PKPD dikenakan di Rh Anggey di Sg Kerubong mulai 16 hingga 29 Sept. Manakala Kuarters Pekerja Tamar Estate di Tatau dikenakan PKPD mulai 14 hingga 27 Sept,” katanya.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan 3 lokaliti dikenakan pelanjutan PKPD iaitu di Rh Langan di Ng Mara dan Rh Lugat di Penyelanih Kiba di Betong mulai 15 hingga 29 Sept.

Di Lubok Antu, pelanjutan PKPD dikenakan di Rh. Engkabi di San Semanju mulai 15 hingga 29 Sept. — DayakDaily