JPA: Pejabat kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang PKP, PKPB dan PKPP

Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman

KUCHING, 12 Jan: Pejabat-pejabat kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bermula esok hingga 26 Januari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata perkara itu penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam diteruskan.

Katanya, kehadiran penjawat awam ke pejabat sepanjang tempoh itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah (PP 5/2020).


“Bagi kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kehadiran 100 peratus bagi pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan perlu manakala hanya 30 peratus pegawai bagi perkhidmatan lain.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) pula, kehadiran pegawai adalah secara optimum,” katanya menerusi pekeliling Arahan Pengoperasian Pejabat Kerajaan di Bawah Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Tambah Mohd Khairul, ketua jabatan masing-masing hendaklah menentukan kehadiran pegawai yang diperlukan bertugas di pejabat.

Surat edaran ini katanya juga terpakai bagi mana-mana negeri atau kawasan tertentu mengikut jenis perintah yang diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Arahan ini dipanjangkan kepada Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan,”ujarnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala, pelaksanaan PKPB turut diadakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala, pelaksanaan PKPP di Perlis dan Sarawak. – DayakDaily.