KUCHING, 16 Jan: Jaguh Muay Thai Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih mesra dengan panggilan Jojo, mempertahankan pendapatnya tentang kelebihan Muay Thai berbanding silat olahraga.
Menurut laporan TVS, Jojo menegaskan tidak akan menarik balik pendapatnya yang diutarakannya menerusi satu video rakaman temu bual yang mula tular di media sosial yang mengundang pelbagai komen negatif daripada netizen.
“Sebab saya rasa ia betul dan saya berharap mereka yang komen negatif, agar lebih memahami apa yang saya nak sampaikan dan konteks di sebalik apa yang ditunjukkan semasa temubual,” katanya semasa ditemubual TVS semalam.
Menerusi temu bual itu, Jojo diajukan soalan tentang pendapatnya mengenai silat olahraga dan Muay Thai.
“Yang saya komen itu tentang silat olahraga. Saya cakap silat olahraga ini tak best berbanding Muay Thai kerana silat olahraga ini terlalu banyak peraturan, terlalu banyak bantahan.
“Ia tak macam Muay Thai, tapi kena faham kenapa sukan itu dijadikan seperti itu,” jelasnya.
Jojo menjelaskan, ia umpama makanan kegemaran seseorang yang berbeza mengikut selera masing-masing.
Baginya, begitu juga konteks perbualannya semasa ditemu bual, sudah pasti beliau memperkatakan kelebihan Muay Thai berbanding silat olahraga.
“Soalan itu agak rumit, sampai ada yang sakit hati. Saya tak berniat buat macam itu,” katanya. — DayakDaily
Advertisement