‘Job week’ Pengakap dahulu, pelbagai kerja pelbagai gaji — Gerawat

Gerawat berucap di Majlis Lantikan Majlis Pengakap Daerah Miri. Foto: TVS
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 28 Ogos: Dulu aktiviti Pengakap dikenali sebagai ‘job week’ di mana pelbagai kerja dilaksanakan dengan pelbagai gaji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.

Menurut laporan TVS, Gerawat yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Miri memberitahu, ia adalah satu aktiviti yang beliau sangat sukai sebagai seorang ahli pengakap pada zaman persekolahan.

Advertisement

“Saya tidak tahu sama ada zaman sekarang ia masih wujud atau tidak.

“Pada waktu saya dahulu ia dikenali sebagai ‘job week’. Kami melakukan pelbagai kerja dengan pelbagai gaji.

“Dari situ kamu belajar kumpulkan keberanian tanya kerja apa nak dilakukan,” kata Gerawat.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Lantikan Majlis Pengakap Daerah Miri dan Majlis Pesuruhjaya di Miri pada semalam.

Gerawat percaya pada masa sekarang walaupun aktiviti-aktiviti dan program mungkin berlainan sedikit tapi tujuannya sama iaitu untuk membina generasi muda.

“Kerana saya tahu pergerakan pengakap kita boleh membantu membina sahsiah yang lebih baik dan kukuh dalam kalangan generasi muda kita terutamanya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat lebih 10,000 orang keahlian aktif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak direkodkan setakat ini.

Angka berkenaan disifatkan beliau sebagai suatu pencapaian yang baik untuk Pengakap Sarawak. — DayakDaily

Advertisement