JMS akan meminta pertolongan JPS untuk memantau kegiatan perlombongan kuari dekat Gua Niah

Ipoi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Darren Curneo dari University Of New South Wales dari Sydney, Australia yang menyampaikan ceramahnya di acara Bicara Warisan Bertajuk "Bap Seterusnya Dalam Sejarah Gua Niah: Manusia Berusia 65,000 Tahun Gua Pedagang" di Pejabat JMS, Jalan Barrack, di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Okt 23: Jabatan Muzium Sarawak (JMS) akan meminta Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) supaya memantau dan mengawal kegiatan perlombongan kuari berhampiran Taman Negara Niah kerana bimbang kegiatan itu akan menceroboh dan seterusnya merosakkan tapak arkeologi penting di kompleks Gua Niah.

Pengarah JMS, Ipoi Datan berkata pihaknya yang kerap menjalankan penyelidikan arkeologi di Gua Niah dengan universiti tempatan dan dari luar negara memang sudah menerima laporan mengenai aktiviti perlombongan kuari terbabit yang berdekatan kompleks Gua Niah.

“Kita akan merujuk perkara ini pihak perhutanan (JPS) dan (memohon) mereka memantau persekitaran Taman Negara Niah,” katanya selepas menghadiri acara Bicara Warisan Bertajuk “Bap Seterusnya Dalam Sejarah Gua Niah: Manusia Berusia 65,000 Tahun Gua Pedagang” di Pejabat JMS, Jalan Barrack, di sini, semalam.

Advertisement

Ipoi mengulas terdapatnya aduan dari pihak tertentu yang kawasan bukit berhampiran kompleks Gua Niah telah terganggu akibat perlombongan kuari yang ada mengunakan bahan letupan.

“Kita juga berharap kerja (perlombongan kuari) ini dapat dikawal (JPS) supaya tidak memasuki kawasan kompleks Gua Niah yang mengandungi tapak arkeologi penting supaya kita dapat memulihara dan mengawal kewujudan tapak tersebut,” katanya.

Sementara itu, bagi melindungi kompleks Gua Niah juga, Ipoi mendedahkan JMS ketika ini sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan untuk Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sama seperti Gua Mulu di Taman Negara Mulu.

“Selain itu, kami juga sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan banyak universiti seperti University Of New South Wales dari Sydney, Australia bagi melakukan lebih banyak kerja penyelidikan arkeologi terutama di tapak Gua Dagang (di Gua Niah) bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Taman Negara Niah seluas 3,138 hektar merupakan kawasan bukit batu kapur serta hutan tetapi menjadi kawasan yang penting kerana pada 1958, satu cari gali diketuai kurator Muzium Sarawak, Tom Harrison dan isterinya Barbara Harrison telah membongkar satu tengkorak manusia disebelah barat pintu utama Gua Niah, yang dianggarkan berusia 40,000 tahun.

Ia merupakan tengkorak manusia moden (Homo sapiens) yang terawal di Asia Tenggara dan merupakan bukti terawal pendudukan manusia di Borneo. — DayakDaily

Advertisement