JKMS selamatkan 83 orang papa menerusi operasi bersepadu 2022

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 30 Nov: Seramai 83 orang papa di seluruh negeri telah diselamatkan menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) pada 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 85 tindakan operasi menyelamat telah diadakan dan adalah selaras dengan Akta Orang-Orang Papa 1977.

“Bahagian Kuching merekodkan 38 kes, Sibu 24 kes, Bintulu dan Miri masing-masing 8 kes.


“Bahagian lain seperti Sarikei 3 kes dan Samarahan serta Betong masing-masing mempunyai 1 kes,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Daripada 83 kes tersebut jelas Fatimah, 3 kes dimasukkan ke Desa Bina Diri Kuching (DBD) dan 17 kes dihantar ke Tempat Transit Gelandangan (TTG).

Manakala 19 kes dipulangkan kepada keluarga, 29 kes dilepaskan, 3 kes dirujuk untuk sesi kaunseling, 9 kes dirujuk ke agensi lain dan 3 kes diberikan Tabung Bantuan Segera (TBS).

Dalam ucapan yang sama, beliau memaklumkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sunflower Miri telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang peringkat kebangsaan.

Anugerah diberi bersempena dengan sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022. — DayakDaily