JKMS belanjakan lebih RM10.9 juta bantu kawasan dikenakan ‘lockdown’

Fatimah (dua kanan) bersama mengacau bubur lambuk semasa menghadiri Program Gema Ramahan di Ibu Pejabat JKMS, Kuching.

KUCHING, 30 April: Peruntukan sebanyak RM10.9 juta dibelanjakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak Januari hingga April lalu bagi membantu membekalkan bekalan makanan untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebagai pertugas barisan hadapan peranan JKMS penting dalam membantu kerajaan khususnya ketika menjayakan misi kemanusian dan kebajikan sosial dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Katanya, peranan tersebut termasuklah pengedaran bakul makanan semasa PKP dan membekalkan makanan kepada kawasan yang dikenakan ‘lockdown’ sama ada di kawasan kampung atau rumah panjang.


“Sejak Januari hingga semalam (29 April) sejumlah 821 buah kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak telah dikenakan arahan PKPD ataupun ‘lockdown’ dan seramai 9,574 orang yang terjejas telah dibantu dalam tempoh tersebut.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan Sarawak menerusi JKMS telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM10,961,747.46 bagi tujuan pembelian dan pengedaran bakul makanan kepada semua kawasan yang terjejas susulan dikenakan arahan PKPD atau PKP,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Gema Ramahan di Ibu Pejabat JKMS di sini hari ini.

Menurut Fatimah, menerusi program Sejambak Kasih Raya Gawai, sumbangan sebanyak RM100 telah dikreditkan kepada akaun 42,094 orang penerima bantuan JKMS yang menyambut perayaan tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.2 juta.

“Sebanyak 15,471 orang daripada jumlah penerima bantuan seluruh Sarawak akan menerima sumbangan ini sempena Hari Raya Aidilfitiri dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,547,100.

“Manakala 26,623 orang pula menerima sempena Hari Gawai dengan perbelanjaan sebanyak RM 2,662,300,” katanya.

Sejak Januari hingga April, JKMS telah telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM20,102,900 kepada seramai 50,618 penerima bantuan bulanan jabatan itu di seluruh Sarawak. — DayakDaily