JKMS belanja RM107.1 juta sejak 2020 bagi bantuan sepanjang pandemik Covid-19

Fatimah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan ketika Program Kembara Prihatin Negara 2020 dalam foto fail ini.

KUCHING, 25 Mei: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah membelanjakan sejumlah RM107.1 juta sejak tahun 2020 hingga kini, khususnya sepanjang pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, ia bagi tujuan penyaluran bantuan makanan, keperluan harian seperti lampin pakai buang, dan susu untuk kanak-kanak dan warga emas.

“Bantuan ini diberikan kepada mereka yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah.


“Bantuan ini juga dipanjangkan kepada mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) serta petugas-petugas barisan hadapan,” katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN hari ini.

Tambah Fatimah, tugas yang berat dan mencabar ini hanya dapat dilaksanakan dengan bantuan serta kerjasama padu daripada agensi barisan hadapan.

Ia melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan sukarelawan. — DayakDaily