JKM terima 88 pemohonan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang tahun lalu

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 20 Jan: Sebanyak 88 pemohohan bagi Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tahun lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 permohohan telah diluluskan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM420,452.

Menurut beliau, sebanyak 18 pemohonan tidak diluluskan pada tahun lalu atas beberapa sebab antaranya pemohon telah meninggal dunia, mendapat subsidi rawatan di hospital kerajaan, pendapatan keluarga melebihi syarat kelayakan ditetapkan, jarak kediaman kurang daripada 30 kilometer (KM) atau kos rawatan dialisis dibiayai oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perkeso.

“Pada tahun lalu juga, terdapat sembilan lagi pemohanan yang dibuat turut tidak diluluskan atas faktor pemohanan terbabit tidak lengkap.

“Pemohonan ini dikategorikan sebagai tidak lengkap kerana tiada pengesahan daripada pakar nefrologi serta memerlukan siasatan lebih lanjut tentang keadaan pemohon,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, Petrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata, bantuan khas terbabit merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan kewangan sebanyak RM 4,673,917 pada tahun lalu bagi membantu meringankan beban pesakit buah pinggang di Sarawak.

Katanya bantuan terbabit merangkumi bantuan klinikal dan bantuan sokongan yang akan diberikan kepada pesakit terlibat.

“Bantuan klinikal merujuk kepada bantuan pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF), Suntikan Erythropoietin (EPO), rawatan hemodialisis, dan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

“Manakala bantuan sokongan pula merujuk kepada kepada bantuan mesin, bantuan pengangkutan dan bantuan transplan,” katanya.

Tambah Fatimah, menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada tahun 2018 terdapat 3,317 orang pesakit buah pinggang di Sarawak dengan 2,920 pesakit daripada jumlah tersebut menjalani rawatan hemodialisis sementara 275 pesakit lagi menjalani CAPD dan selebihnya telah menjalani pemindahan.

Katanya ketika ini terdapat 15 pusat dialisis di Sarawak iaitu enam di Kuching, Betong (1), Sri Aman (1), Sibu (3), Bintulu (1), Miri (1) dan Limbang (2). — DayakDaily