Covid-19: 4,008 kes baharu dan 11 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 20 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 4,008 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 4,003 kes tempatan dan lima kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 169,379 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 41,087 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,391 kes. Ini diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 513 kes dan Johor dengan 470 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,374 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 127,662 kes atau 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 246 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 96 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 630 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 11 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan sembilan kes warganegara dan dua bukan warganegara.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes dari Selangor, masing-masing tiga kes dari Sabah dan Johor, serta satu kes dari Sarawak. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 16 kluster baharu dilaporkan hari ini. — DayakDaily