Jentera Wanita GPS di ‘gear 5’ hadapi PRU15 — Fatimah

Fatimah (dua dari kiri) mengiringi Abang Johari di Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS.

KUCHING, 30 Okt: Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berada di ‘gear 5’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Wanita GPS Dato Sri Fatimah Abdullah.

“Program “Reaching Out, Touching Hearts, Engaging Minds” oleh Skuad Sayang, Biro Wanita Jentera Wanita GPS hendaklah diteruskan, dan dianjak komitmen daripada kadar biasa ke kelajuan luar biasa.

“Jika kereta manual, anjakkan dari ‘gear 4’ ke ‘gear 5’,” katanya dalam ucapan aluannya di Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS di sini hari ini.


Majlis telah dirasmikan Premier Sarawak merangkap pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Fatimah, jentera Wanita GPS juga perlu bersedia untuk menepis fitnah, berita palsu, tohmahan dan penafian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan individu yang berkecenderungan menafi perkhidmatan cemerlang GPS.

Katanya, pemimpin dan pejuang parti GPS, termasuk Wanita GPS hendaklah meningkatkan kualiti khidmat dan keprihatinan mereka sebab rakyat sentiasa mengharapkan Kerajaan Sarawak.

“Ini khususnya GPS yang menjadi pembela nasib bangsa, arkitek pembangunan dan penjana masa hadapan Sarawak yang gemilang melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19,” kata Fatimah.

Tambah beliau, PRU ke-15 adalah lebih mencabar berbanding pilihan raya sebelumnya disebabkan oleh kehadiran pengundi usia 18 tahun.

Ini termasuk mereka yang tidak pernah mendaftar sebelumnya yang telah didaftar ke dalam senarai pengundi secara automatik.

“Namun, ia hendaklah dilihat sebagai peluang bagi kita untuk mengukuhkan kedudukan GPS sebagai gabungan parti pilihan pertama dalam agenda memperjuangkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,’ ujar Fatimah. — DayakDaily