Calon GPS tentukan kerajaan Malaysia yang baharu — Abang Johari

Abang Johari hadir di Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS.

KUCHING, 30 Okt: Kesemua 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan menentukan kerajaan Malaysia yang baharu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap di Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS hari ini, Abang Johari yakin Sarawak bakal memainkan peranan di dalam menubuhkan kerajaan Malaysia yang stabil.

“Pada 5 November depan (hari penamaan calon) GPS hantar calon yang berkualiti, kita hantar calon wanita yang berpengalaman, kita hantar calon wanita yang kita latih untuk masa hadapan.


“Kita hantar calon pemuda dan berpengalaman, kita hantar pasukan GPS,” kata Abang Johari yang juga Pengerusi GPS.

Justeru, beliau mengingatkan semua jentera untuk meneruskan momentum seperti Pilihanraya Negeri (PRN) yang lalu agar semua calon GPS menang.

Abang Johari turut menggesa semua ahli-ahli GPS untuk mengenepikan perbezaan peribadi serta menolak masalah-masalah yang lain.

“Kita tumpukan kepada perjuangan rakyat menerusi GPS agar pada 19 November nanti 31 kerusi parlimen milik kita.

“Biar kita menang bergaya dan kita menentukan pimpinan negara,” kata Abang Johari.

Hadir sama Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Wanita GPS Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily