Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 bawa program karnival kerjaya di empat lokasi di Sarawak

Program Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 dan Program Karnival Kerjaya akan diadakan di empat lokasi di Sarawak.

KUCHING, Ogos 10: Terdapat 93 majikan menawarkan lebih 4,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja semasa Program Jelajah Kerjaya Kenyalang (JKK) 3.0 2019.

Program ini bertujuan membantu rakyat tempatan khususnya para pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Kenyataan media Jabatan Tenaga Kerja Sarawak hari ini menyatakan bahawa Konvoi JKK 3.0 akan membawa perkhidmatan kerajaan serta peluang pekerjaan terus kepada rakyat melalui pendekatan secara ‘outreach’.


Program kali ini akan diadakan di empat lokasi iaitu Summer Shopping Mall, Samarahan pada 14 Ogos (Rabu); Dewan Panglima Rentap, Betong pada 15 Ogos (Khamis); Dewan Kompleks Islam Sibu pada 17 Ogos (Sabtu) dan; Stadium Tertutup Miri pada 19 Ogos (Isnin).

Keempat-empat lokasi ini akan menganjurkan Program Karnival Kerjaya yang mana setiap lokasi menawarkan pelbagai kekosongan jawatan daripada pelbagai industri. Kesemua program bermula jam 8 pagi.

Program Kerjaya Kenyalang 3.0 merupakan program kesinambungan daripada pelaksanaan Program Jelajah Kenyalang 2.0 tahun 2017.

Ini merupakan tahun ketiga program ini dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Kementerian Sumber Manusia.

Aktiviti-aktiviti dalam Program Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 adalah seperti temuduga terbuka majikan terhadap pencari kerja; pendaftaran pencari kerja secara online dalam portal JobsMalaysia; ceramah kerjaya dan khidmat nasihat perburuhan; saringan kasihatan; dan pameran daripada jabatan serta agensi penyedia latihan dibawah KSM di Sarawak serta rakan strategik JTK Sarawak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato Mahfuz Omar juga akan hadir bagi merasmikan program serta menyempurnakan acara pelepasan konvoi Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 bertempat di The Summer Shopping Mall, Samarahan disini pada 14 Ogos.

Objektif program ini adalah bertujuan untuk memudahkan pencari kerja mendapat peluang pekerjaan dan majikan mendapat calon pekerja yang bersesuaian secara setempat sewaktu program berlangsung.

Majikan akan mengadakan temuduga terbuka sewaktu program tersebut bagi calon-calon yang berminat untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan oleh syarikat majikan.

Program ini terbuka kepada orang awam dan kemasukan adalah secara percuma, pencari kerja daripada pelbagai kelayakan akademik mahupun mereka yang sudah bekerja tetapi ingin meningkatkan karier mereka boleh juga hadir ke program ini.

Mereka boleh menghadiri temuduga terbuka yang diadakan oleh syarikat-syarikat yang mengikuti program tersebut. Semua pencari kerja hendaklah berdaftar di www.jobsmalaysia.gov.my.

Pencari kerja dihendaklah berpakaian kemas dan membawa resume serta salinan dokumen yang berkaitan semasa menghadiri temuduga.— DayakDaily