Jejambat Batu 3 ditutup sementara beri laluan penyelenggaraan jalan

Image by Just killing time from Pixabay

KUCHING, 3 Dis: Laluan jalan di jejambat Batu Tiga berdekatan pasar raya Aeon akan ditutup sementara bagi dua tempoh berlainan iaitu pada 5 hingga 6 Disember dan 12 hingga 13 Disember depan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyatan hari ini menjelaskan penutup laluan di jejambat tersebut bagi memberikan laluan kerja penyelenggaraan permukaan jalan di atas jejambat terbabit.

“Bagi kedua-dua tempoh tersebut, waktu penyelenggaraan dan penutupan sementara akan bermula dari 8 pagi hingga 8 malam,” menurut kenyataan itu.

Justeru, bagi tempoh tersebut, pengguna jalan raya digalakkan untuk menggunakan laluan alternatif bersesuaian sekiranya mereka mempunyai urusan atau hendak ke kawasan terlibat.

“Pengguna jalan raya juga dipohon agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi pengurusan trafik di lokasi berkenaan sepanjang tempoh penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan dengan aliran trafik di kawasan terbabit boleh berhubung terus dengan Pejabat JKR Bahagian Kuching di talian 016-8885761 atau dengan kontraktor terlibat iaitu Zhafco Enterprise di talian 016-8533031. — DayakDaily