JBALB: Bekalan air di Kapit pulih

Bekalan air di kawasan perumahan Jalan Airport Kapit kembali pulih seperti biasa.

KUCHING, Oktober 7: Masalah sistem bekalan air di Kapit kembali pulih secara beperingkat setelah pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Kapit melakukan kerja baikpulih.

Menurut kenyataan media JBALB semalam, kerja-kerja baikpulih dilakukan pada sistem ‘dosing’ di Loji Rawatan Air Kapit yang menjadi punca kepada bekalan air yang berwarna keruh.

“Pihak JBALB Bahagian Kapit telah mengenalpasti masalah pada sistem ‘dosing’ dan mengambil tindakan segera dengan melakukan kerja-kerja baikpulih.


“Selain itu, pihak JBALB juga telah melakukan ‘flushing’ bermula awal pagi ini tadi (semalam) di semua kawasan di Kapit untuk membuang air keruh,” menurut kenyataan media.

Antara kawasan yang telah kembali pulih adalah seperti Kpg Muhibbah Bleteh, Kpg Baru, kawasan Jalan Selirik Kapit, kawasan pasar Kapit, kawasan Jalan Hilltop, kawasan Jalan Airport, Kpg Bestari dan di kawasan-kawasan yang lain.

Disamping itu, pasukan teknikal JBALB turut turun padang bagi membuat pemantauan dan memastikan agar kualiti air berada pada tahap yang bersih dan selamat untuk digunakan oleh semua pengguna.

Pihak JBALB Bahagian Kapit akan terus memantau rapi keadaan bekalan air dari semasa ke semasa.

Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan di laman Facebook rasmi JBALB Sarawak dan Facebook JBALB Bahagian Kapit.— DayakDaily