PKR Stakan mahu masalah kesesakan jalan segera diselesaikan

Numpang (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (Okt 7, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 7: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cawangan Stakan mahu masalah kesesakan jalanraya yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut diselesaikan dengan segera.

Ketua cawangan yang baharu dilantik, Numpang Suntai, berkata keadaan kesesakan jalanraya terutama di Merdang dan di sepanjang Jalan Datuk Mohd Musa sangat teruk.

“Jika dibandingkan dengan kawasan lain di Kuching seperti di Petra Jaya, keadaan jalanraya adalah sangat baik.

“Malangnya sepanjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan kemudian Gabungan Parti Sarawak (GPS), keadaan jalanraya di Merdang dan di sepanjang jalan Datuk Mohd Musa tiada perubahan,” katanya.

Numpang berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibupejabat PKR negeri di sini, hari ini.

PKR Stakan adalah cawangan baharu yang baru ditumbuhkan pada Okt 4 lepas dengan keahlian seramai 2,000 orang.

Mengulas mengenai penubuhan PKR Stakan, Numpang berkata ia bertujuan untuk memperkuatkan parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.

“Paling penting ialah untuk menjadi saluran komunikasi kepada rakyat Stakan.

“Banyak inisiatif yang telah dibuat oleh kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang harus diketahui dan dinikmati rakyat,” katanya.

Tambah Numpang yang juga ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN), usaha untuk menambah keahlian pada peringkat cawangan juga menjadi keutamaan.

Beliau percaya, dengan keahlian yang ramai, mereka mampu membantu memperkuatkan PKR sekaligus memperkasakan PH.

Katanya, memenangi DUN Stakan pada pilihanraya negeri yang akan datang adalah tugas utama.

Ditanya samada PKR akan menghantar calon, Numpang berkata perkara tersebut tiada di dalam perbincangan buat masa ini.

“Pada pilihanraya negeri yang lepas, calon DAP (Parti Tindakan Demokratik) bertanding di DUN Stakan.

“Apa yang penting ialah kita memperkuatkan gabungan PH dan mampu memenangi Stakan,” ujar beliau. — DayakDaily