Seorang lelaki maut, nahas kereta langgar pokok di Bintulu

Keadaan kereta mangsa.

BINTULU, 26 Dis: Seorang lelaki maut dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza di jalan berdekatan Kidurong Club, di sini malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.16 malam melaporkan berlakunya kemalangan tersebut.

Bertindak daripada laporan tersebut, beberapa orang anggota dari Balai Bomba Bintulu terus ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kemalangan kendiri melibatkan sebuah Perodua Bezza yang telah melanggar pokok dan menyebabkan mangsa tersepit.

“Pihak Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan dia telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa berusia 22 tahun.

“Selesai operasi, pihak Bomba berangkat balik ke balai,” katanya. — DayakDaily