Jawatankuasa anti-rasuah di setiap kementerian, jabatan dan agensi negeri

John Sikie (barisan depan, enam dari kanan) bergambar bersama peserta Program Jelajah Integriti.

Oleh Dean Adam

TATAU, Ogos 27: Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan pekeliling mengenai penubuhan serta terma rujukan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) untuk setiap kementerian, jabatan dan agensi di negeri ini.

Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Talib Zulpilip berkata, Ketua Menteri Sarawak sendiri telah mengariskan dengan jelas tentang halatuju gerakan pembudayaan integriti yang komprehensif semasa majlis amanat Perdana Integriti 2019 pada Februari lalu.


Jelasnya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan unit integriti di setiap kementerian, jabatan dan agensi untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja yang berintegriti.

“Malah, hasil cetusan idea Ketua Menteri, kerajaan negeri kini telah menghasilkan 43 orang pegawai integriti bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai semasa Majlis Perasmian Program Jelajah Integriti Siri 5 Tahun 2019 di Dewan Sukan Tatau, hari ini.

Talib menambah, usaha yang dilakukan itu juga adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penjawat awam.

Katanya, ia juga adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat di samping menerapkan nilai Kerja yang baik.

“Kita akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk membudayakan integriti dalam semua sektor masyarakat.

“Semua langkah ini dapat membendung salah laku, jenayah, serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi,” tegas beliau. — DayakDaily