KUCHING, Jun 28: Seorang lelaki warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkang semasa dia sedang mandi di bahagian belakang tongkang berkenaan di Jeti Hock Seng Lee di Muara Tabuan di sini lewat petang semalam.
Mangsa yang dikenalpasti sebagai Prasahant Payal, 18, dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan dibawa arus deras dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Mosli Salim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini dilakukan dengan kaedah mencari mangsa di permukaan air.
“Anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut di lokasi bagi membantu operasi SAR ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mosli menambah, setakat ini mangsa masih belum ditemui.
Katanya, operasi SAR hari ini dengan menggunakan bot dilakukan di sekitar radius 1 kilometer di kawasan tebingan sungai tersebut. — DayakDaily