Lelaki temui ajal ketika masuk simpang

Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Hilux.

MIRI, Jun 28: Malang menimpa seorang lelaki warga Indonesia apabila dia menemui ajal setelah motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di simpang Jalan Perlis-Kuala Baram By Pass, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, mangsa, Kasim Sikki, 66, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pekerja kilang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Baram di sini.


Katanya, namun kecuaian mangsa yang dipercayai tiba-tiba masuk ke simpang membawa padah apabila dia telah dirempuh sebuah Toyota Hilux.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu Toyota Hilux yang berusia lelaki 25 tahun itu dikatakan gagal mengelak lalu melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa tercampak jatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu lelaki tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily