Jangan tukar hak milik rumah penempatan semula Kg Datu Baru — Adun Nangka

Dr Annuar ketika ditemui di Sibu. Foto: Ukas
Advertisement

By DayakDaily Team

KUCHING, 29 Julai: Pemilik rumah di tapak penempatan semula Kampung Datu Baru di Sibu dilarang membuat sebarang pertukaran hak milik rumah kepada pihak ketiga, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Annuar berkata, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Advertisement

“Dalam Seksyen 18, rumah di kawasan ini tidak boleh dijual, bermakna tiada urusan jual beli dalam apa jua bentuk.

“Jika ada yang bercadang untuk menukar hak milik rumah mereka, ia mesti dipindahkan kepada waris mereka, tetapi hanya selepas mendapat kelulusan daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Survei,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Nangka berkata demikian ketika ditemui selepas sesi dialog di tapak penempatan semula Kampung Datu Baru, Sibu pada Sabtu (27 Julai).

Mengenai pengubahsuaian rumah di kawasan itu, Dr Annuar berkata Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah meluluskan tiga jenis pelan pengubahsuaian untuk memastikan piawaian reka bentuk dan menjaga kawasan itu kemas dan teratur.

Beliau juga berkata sebarang perubahan pada reka bentuk yang diluluskan, termasuk rancangan untuk mengubah suai bahagian belakang rumah, memerlukan kelulusan daripada MPS.

“Sebagai alternatif, saya akan berbincang dengan LCDA (Lembaga Pembangunan dan Pemegang Amanah Tanah) selepas ini untuk menyediakan reka bentuk lain bagi bahagian belakang rumah,” tambahnya.

Mengenai rumah-rumah di Kampung Datu Baru, Datuk Dr Annuar berkata setiap rumah berkeluasan 850 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik serta dua bilik mandi.

Bagi sesetengah rumah yang belum disambungkan dengan bekalan elektrik dan air, beliau akan berhubung dengan Sarawak Energy Berhad dan Lembaga Air Sibu untuk ianya disegerakan. — DayakDaily

Advertisement