KUCHING, 15 Mac: Aktivis sosial dan hak asasi manusia Peter John Jaban menyifatkan tindakan seorang wanita melalui video secara “live” di “Facebook” sebagai publisiti murahan dan berunsur hasutan.
Katanya, wanita itu belum fasih mengenai agama dan harus mempelajarinya sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung orang lain yang beragama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya.
“Tindakan wanita tersebut telah merosakkan nama baik agama Islam dan orang yang benar-benar menganut agama Islam.
“Selain itu, ia dilihat telah memesongkan usaha pendakwah-pendakwah Islam yang menjaga nama baik dan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Peter John, isu agama dan rasis tidak sepatutnya ditimbulkan kerana melibatkan sensitiviti kaum, ajaran dan agama.
Beliau memohon supaya rakyat Malaysia bersabar dan akur dengan keputusan mahkamah. — DayakDaily