Sembilan taman rekreasi mini untuk Senadin bakal dibina tahun ini

Lee (duduk) mencuba kemudahan senaman di taman mini rekreasi di Desa Senadin 2D hari ini (15 Mac 2021) ketika lawatan ringkasnya.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Mac: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, merancang membangunkan lebih banyak taman mini rekreasi dalam kawasan perumahan di DUN Senadin dalam tempoh lima tahun.

Lee yang juga ADUN Senadin menjelaskan, sebanyak sembilan projek taman mini rekreasi bakal dibangunkan dibawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2021 untuk kawasan DUN Senadin.


“Bagi RTP 2020, dibawah DUN Senadin, kita ada sebanyak enam projek membangunkan tanah lapang di dalam kawasan perumahan dan dijadikan taman mini rekreasi,” jelas Lee ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ringkas meninjau tiga projek taman mini rekreasi yang telah siap dibina di Desa Senadin 2D(kos RM100,000); Promin Jaya 2(RM50,000) dan Jalan Maigol (RM50,000).

Taman mini rekreasi Desa Senadin 2D dilengkapi bukan sahaja kemudahan taman permainan, malah peralatan latihan senaman asas.

“Tujuan mewujudkan kemudahaan ini di setiap taman mini rekreasi di dalam DUN Senadin yang kita bina adalah untuk mengalakkan masyarakat kita melakukan senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat,” Lee berkata. — DayakDaily