Jangan takut lapor salahlaku rasuah kepada SPRM: Sadia-Rajang

Bill (kiri) dan Tuah berbincang sesuatu dengan pegawai kanan SPRM Sibu ketika membuat lawatan ihsan ke pejabat SPRM di Sibu baru-baru ini

KUCHING, Sept 9: Orang ramai tidak harus khuatir semasa membuat laporan salahlaku rasuah kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), kata pengerusi Sarawak Dayak Iban Association (Sadia)-Rajang Bill Jugah.

“Sadia-Rajang berharap orang ramai tidak akan merasa was-was atau ragu-ragu semasa menjalankan tanggungjawab melaporkan salahlaku rasuah seperti pembikinan jalan yang tidak memenuhi piawai, penyelewengan kuasa dan jawatan, atau penganugerahan projek yang meragukan.

“Malah, itu adalah tanggungjawab kita semua agar memastikan ketelusan dan integriti terjaga. Justeru itu Sadia-Rajang akan terus memantau jika ada perkara salahlaku rasuah.


“Kami menyeru NGO-NGO lain juga ikut sama memantau,” kata Bill dalam kenyataaan hari ini.

Beliau berkata demikian seteleh Sadia-Rajang membuat lawatan ihsan ke pejabat SPRM di Sibu baru-baru ini.

Selain Bill, timbalan beliau, Tuah Lumpoh turut menyertai lawatan tersebut dimana mereka telah disambut oleh Ketua Cawangan SPRM Sibu Rasimah Asdari dan Penolong Kanan Penguasa SPRM Hamir Sakawi.

Jelas Bill, lawantan tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan agensi berkecuali tersebut sambil mendengar taklimat mengenai tatacara pelaksanaan penyiasatan SPRM.

“Dari penerangan yang terdapat di laman sesawang dan brochure SPRM, orang ramai mempunyai pelbagai cara untuk melaporkan gejala rasuah yang berlaku,” ujar Bill.

Menurut brochure SPRM, cara untuk melaporkan gejala rasuah adalah dengan hadir sendiri ke mana-mana pejabat SPRM, menghubungi talian 03-88867000 atau talian bebas tol 1-800-88-6000 ataupun email kepada info@sprm.gov.my.

Orang ramai diingatkan bahawa adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 25(2) dan (4) Akta SPRM kalau tidak melaporkan kesalahan rasuah dan boleh didenda RM100,000 atau penjara 10 tahun.—DayakDaily