Ibu tergamam jumpa anak lelaki mati tergantung

Royal Malaysia Police logo

MIRI, Ogos 26: Seorang ibu tergamam apabila menemui anak lelakinya mati dalam keadaan tergantung di rumah mereka di Piasau di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah dalam satu kenyataan media hari ini berkata, mangsa yang berumur 43 tahun dijumpai mati tergantung pada bahagian tangga rumah kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurutnya, si ibu tidak menyedari anaknya nekad membunuh diri dengan menggantung diri pada tangga rumah kerana dia tidur semasa mangsa berbuat demikian.


“Selepas dia terjaga daripada tidur, si ibu kemudian mencari anaknya namun gagal dikesan.

“Namun, si ibu terkejut apabila dia menemui anaknya dalam keadaan tergantung dan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya hari ini.

Lim menambah, si ibu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sepasukan anggota polis kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan awal.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan mengalami masalah mental dan masih dalam proses rawatan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Sambil menambah, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. — DayakDaily