Jangan salah guna BR1M — Riot

Riot (dua dari kiri) menyerahkan baucar BR1M kepada salah seorang penerima di Dewan Kampung Rasau, Serian.
Advertisement

SERIAN, April 8: Para penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Serian diingatkan agar bijak berbelanja dengan wang bantuan yang diterima daripada kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, bantuan yang disalurkan itu merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha meringankan beban rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.

Katanya, rakyat seharusnya tidak mudah alpa dengan pemberian BR1M dan para ketua isi rumah harus bijak mengatur kewangan supaya wang bantuan itu tidak disalahgunakan.

Advertisement

“Saya berharap masyarakat di kawasan ini agar tidak sesekali menyalahgunakan BR1M untuk tujuan lain.

“Pemberian wang tunai menerusi BR1M kepada rakyat sebenarnya memberi kesan baik kepada ekonomi negara,” katanya ketika menyerahkan baucer BR1M kepada 700 penerima di Dewan Kampung Rasau, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Residen Serian, Mustapha Julaihi, Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng dan Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald David Jonas.

Dalam pada itu, Riot yang juga penyandang kerusi Parlimen Serian meminta rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan hasutan pihak tertentu yang gemar memburuk-burukkan kerajaan.

Jelasnya, isu kenaikan harga minyak dan barangan perlu dilihat daripada pelbagai sudut dengan tidak menerima bulat-bulat tohmahan pembangkang.

“Tiada negara di dunia yang menawarkan barangan secara percuma kepada rakyatnya.

“Kita di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana harga minyak masih lagi berada di tahap rendah berbanding negara jiran yang lain,” katanya. — DayakDaily

Advertisement