Wan Junaidi yakin masih kuat untuk bertanding dalam PRU14

Wan Junaidi (tengah) disambut semasa ketibaan beliau di Ekspo Mini Kampung Sejingkat Kolej SIDMA Sarawak Turun Desa di Kampung Sejingkat Hilir.

KUCHING, April 8: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dirinya masih lagi kuat untuk bertempur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Walaupun sudah mencecah usia 72 tahun, penyandang kerusi Parlimen Santubong selama enam penggal itu dengan yakin menyatakan bahawa beliau masih sihat dan berupaya mencurahkan tenaga kepada rakyat seperti masa kini, termasuk menggalas tanggungjawab yang berat.

“Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tapi tekanan darah, tahap kolesterol dan gula saya semua dalam keadaan yang amat baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Mini Kampung Sejingkat Kolej SIDMA Sarawak Turun Desa di Kampung Sejingkat Hilir di sini hari ini.


Sehubungan itu, beliau berkata bersedia untuk bertanding jika diberikan peluang lagi oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), sekali gus mempertahankan konstituensi itu dengan majoriti yang lebih baik.

Malah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu turut memberitahu bahawa kesediaannya untuk bertanding semula juga adalah didorong oleh sokongan daripada pemimpim-pemimpin masyarakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Santubong.

“Saya tidak minta sokongan tetapi semua pemimpin masyarakat telah meminta agar saya bertanding semula kerana mereka masih memerlukan khidmat saya untuk membawa kemajuan di dalam kawasan mereka,” katanya.

Wan Junaidi juga menambah walaupun masih belum lagi tahu mengenai statusnya sama ada akan dicalonkan semula atau disingkirkan, beliau tetap melakukan persiapan yang rapi dan kukuh untuk terus memperkukuhkan kedudukan BN di Parlimen Santubong yang merangkumi DUN Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut.

Justeru, beliau berkata pada masa ini, persiapan jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) amnya sudah dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi PRU14 pada bila-bila masa.

“Semua jentera saya sudah bersedia dan mereka akan bergerak sebaik sahaja hari penamaan calon dan mengundian diumumkan,” katanya.

Wan Junaidi pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar pada tahun 1990 hingga 2004, sebelum diletakkan untuk mewakili Parlimen Santubong.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, sebelum dinaikkan menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ahli politik dari PBB itu juga telah diuar-uarkan sebagai antara penyandang yang akan digantikan dengan calon BN yang baharu pada PRU14 ini. ā€” DayakDaily