Jangan percaya dakyah orang kecewa – Francis Harden

Francis (kiri) ketika melawat projek jambatan gantung Rh Lichang, Entawa, Undop di Sri Aman.

SIMANGANG, 29 Okt: Pengundi di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diingatkan agar tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak yang mengatakan kawasan tersebut ketinggalan dari segi aspek pembangunan.

Menteri Muda Kesejahteran Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tindakan individu tersebut tidak lebih kepada perasaan kecewa apabila mereka tidak terpilih untuk menyandang sesuatu jawatan dalam komuniti sehingga sanggup bersekongkol dengan pihak pembangkang memburukkan kerajaan.

Katanya, walaupun pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di kawasan DUN Simanggang, pembangkang akan tetap menafikannya kerana takut masyarakat mengetahui dan akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan.

“Mereka (pembangkang) secara berterusan memesongkan pemikiran segelintir penduduk dan usaha-usaha buruk ini juga disokong oleh individu yang kecewa kerana hasrat mereka tidak tercapai. Sebagai contoh, isu pelantikan Tuai Rumah.

“Pelantikan Tuai Rumah yang tidak memenuhi syarat tidak akan dipertimbangkan baik dari kerajaan sekarang atau mana-mana kerajaan baru kerana ini melibatkan dasar.

“Oleh itu, individu yang kecewa ini sanggup bersengkongkol dengan parti pembangkang sebagai melepaskan rasa tidak puas hati dan bantahan,” katanya.

Beliau berkata individu terbabit seharusnya bersabar dan mempunyai jati diri dalam menguruskan anak buah atau komuniti masyarakat jagaan mereka.

Mereka (ketua kaum) katanya, perlu menyediakan profil dan data berkenaan kampung atau rumah panjang terlibat secara menyeluruh, mempamerkan intergriti dan kesungguhan masing-masing untuk menjadi pemimpin masyarakat di kawasan terlibat.

“Jika ini dapat dilaksanakan, rakyat akan menilai dan sanggup menjadi pengikut memandangkan seseorang individu itu boleh dipercayai,” katanya menerusi satu kenyataan selepas melawat projek pembinaan jambatan gantung Rh Lichang, Entawa, Undop, Sri Aman hari ini.

Harden, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simangang, berkata projek bernilai RM450,000 termasuk akses dari jalanraya utama merupakan projek di bawah peruntukkan Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Simanggang yang dipohon oleh penduduk kampung yang memerlukan jambatan untuk menghubungkan tanah di seberang Sungai Undop.

“Adalah diharapkan jambatan tersebut dapat memberi manfaat kepada penduduk dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi dengan meneroka tanah baru untuk pertanian,” katanya.—DayakDaily