Oleh Chris Bishop
SERIAN, 13 Sept: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengajak masyarakat Bidayuh memastikan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bidayuh milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesai pilihanraya negeri nanti.
Katanya, ia penting agar kerajaan dapat meneruskan semua program pembangunan di setiap kawasan dengan lancar demi manfaat rakyat.
“Pilihanraya negeri akan diadakan tidak lama lagi. Kalau kawasan kita diambil oleh pembangkang adalah sukar untuk melihat kawasan kita dibangunkan.
“Harap-harap pada pilihnaraya itu nanti, kita menang semua kerusi Bidayuh.
“Sebab pada pilihanraya Parlimen yang lepas dua kerusi Bidayuh telah jatuh,” katanya pada lawatan kerja ke program Sistem Tagang di Kampung Terbat Mawang hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyeru penduduk kampung untuk sentiasa berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali masuk ke kampung.
Katanya, individu ini akan sentiasa bertanya apa yang wakil rakyat tidak lakukan untuk kemajuan kampung dan datang untuk menghasut rakyat.
“Mereka tidak bertanya apa yang wakil rakyat telah lakukan untuk kebaikan kampung. Datangnya adalah untuk memecahkan perpaduan penduduk kampung.
“Selepas pilihanraya, mereka ini akan hilang dan kita sebagai pemimpin terpaksa menguruskan isu perpaduan semula,” ujar Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Terdapat lapan kerusi DUN yang telah dikenalpasti sebagai kerusi Bidayuh iaitu Opar, Mambong, Tasik Biru, Serembu, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja. — DayakDaily