Eko-pelancongan dibangunkan di kawasan sistem tagang Terbat Mawang, kata Abdul Karim

Abdul Karim (tiga dari kiri) bersama yang lain melepaskan anak ikan pada lawatan tersebut. Turut kelihatan Martin (kiri).

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 13 Sept: Kerajaan komited untuk membangunkan program tagang di Kampung Terbat Mawang sebagai kawasan tarikan pelancong.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Terbat Mawang yang kaya dengan keindahan semulajadi, amat sesuai untuk eko-pelancongan dan mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.


“Saya tertarik dengan sistem tagang ini yang dapat bertahan dari tahun ke tahun selama 14 tahun dan idea awalnya ialah untuk memastikan ikan sungai tidak pupus.

“Saya percaya sudah sampai masanya untuk kita bangunkan tempat ini sebagai kawasan eko-pelancongan,” katanya pada lawatan kerja ke Projek Tagang Zon Terbat Mawang/Leban/Muara Ahi hari ini.

Menurut Abdul Karim, selain sistem tagang aktiviti pertanian, homestay, hasil kraftangan, makanan dan budaya penduduk setempat boleh dijadikan produk pelancongan.

Katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan, ia mampu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan Tebedu.

Pada lawatan tersebut, beliau turut mendengar taklimat berhubung pelan pembangunan program Tagang Terbat Mawang dan penerangan daripada Adun Kedup Martin Ben.

“Saya akan memberi sokongan penuh dan ingin melihat projek ini berjaya.

“Saya akan bawa beliau (Martin) bertemu dengan ketua menteri untuk mengemukakan cadangan pelan pembangunan tersebut dan saya yakin ia akan menghasilkan sesuatu,” kata Abdul Karim.

Terdahulu, Martin pada ucapannya berkata cadangan tersebut melibatkan dana berjumlah RM5 juta hingga RM6 juta yang melibatkan pengambilan tanah seluas tiga hingga empat ekar.

“Antara lain adalah untuk membina rumah panjang sebagai homestay dan membina kemudahan beriadah kepada pengunjung,” ujar Martin.

Di akhir lawatan, Abdul Karim bersama tetamu yang lain turut melepaskan anak ikan di kawasan tagang.-DayakDaily