Jangan manipulasi harga barang keperluan semasa PKPB, tegas KPDNHEP Kapit

Al-Redzamani Abdul Razak
Advertisement

KAPIT, 17 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kapit akan memastikan tiada berlakunya sebarang manipulasi harga dalam kalangan peniaga sepanjang tempoh PKPB bermula 18 Januari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kapit, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pemeriksaan dan tinjauan sedang giat dijalankan berikutan pengumuman terkini kerajaan berkenaan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak.

Pemeriksaan tersebut katanya bertujuan bagi memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB di laksanakan.

Advertisement

“KPDNHEP Kapit ingin memastikan bahawa tiada berlakunya sebarang manipulasi harga di kalangan para peniaga yang mana akhirnya akan membebankan rakyat serta pengguna.

“Selain itu, pemantauan pihak kami mendapati tiada berlaku pembelian panik oleh pengguna dan suasana perniagaan berlangsung seperti biasa. Malah, rata-rata peniaga yang ditemui juga akui perkara itu dan peningkatan jualan adalah biasa di mana pengguna keluar berbelanja di hari cuti hujung minggu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna turut diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik sepanjang tempoh tersebut memandangkan sektor ekonomi dan premis perniagaan yang menjual barangan keperluan akan terus beroperasi seperti biasa.

Katanya, sepanjang PKPP dilaksanakan sebelum ini, kira-kira 300 premis meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam yang membekalkan barangan keperluan asas kepada pengguna telah diperiksa.

“Setakat hari ini, KPDNHEP Kapit belum lagi menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan keperluan asas, kenaikan harga dan pembelian panik sejak 1 Januari lalu,” ujarnya.

Al-Redzamani berkata, peniaga dalam pada itu turut diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga yang melampau semasa PKPB serta mematuhi peraturan perniagaan yang telah ditetapkan.

Ujarnya, sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada kementerian melalui pusat panggilan di talian 1800 886 800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU serta menerusi aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317.

“Bilik gerakan ‘Enforcement Command Centre’ KPDNHEP cawangan Kapit dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja dan boleh dihubungi di talian 084-799678 untuk menyalurkan apa-apa aduan. — DayakDaily

Advertisement