Covid-19: 3,339 kes baharu dan 7 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 17 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,339 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,324 kes tempatan dan 15 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 158,434 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 37,782 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,314 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 393 kes dan Johor dengan 362 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,676 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 120,051 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 240 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 93 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 601 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tujuh kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan enam kes warganegara dan satu bukan warganegara.

“Tiga kes kematian dilaporkan di Selangor dan dua kes di Johor, manakala Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan satu kes. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 10 kluster baharu dilaporkan
hari ini iaitu Kluster Jalan Pandan Indah di Selangor, Kluster DTI
Sepang 2 (Selangor), Kluster Taman Ikan Jinak (Sabah), Kluster Jalan
Mawila (Sabah), Kluster Jalan Perak (Johor), Kluster Jalan Menerung (Kuala Lumpur), Kluster Tapak Bina Jalan Yap (Kuala Lumpur), Kluster Rantau Lada (Pahang), Kluster Pantai Peringgit (Melaka) dan Kluster Jalan Mohammed Salleh di Labuan. — DayakDaily