BAU, Jun 19: Tindakan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memutarbelitkan fakta terhadap isu-isu pembangunan di negeri ini hanya sekadar mahu mencari publisiti murahan sahaja, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Pesaka, Miro Simuh.
Beliau berkata, kumpulan pemimpin PH juga sengaja memburuk-burukkan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Sarawak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu menegaskan, sebagai contoh di DUN Serembu khususnya, terdapat pemimpin wanita dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap cuba menjadi ‘wira’ kononnya PH telah banyak membawa kemajuan serta pembangunan di situ.
“Apa sahaja yang dilakukan wakil rakyat serta kerajaan negeri adalah untuk demi kepentingan rakyat, namun pemimpin tersebut tidak dapat melihat usaha itu kerana fikirannya dikuasai untuk hanya mendapatkan nama serta publisiti murahan sahaja.
“Dia hanya cakap banyak, namun tidak ada sebarang pembangunan yang nampak dibawa selain kritikan yang dibuat. Tindakan itu jelas menunjukkan kelemahan dirinya sendiri,” katanya di sini hari ini.
Miro menambah, pemimpin berkenaan sepatutnya berfikir secara matang mengenai usaha pembangunan yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri, bukannya menidakkan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
Jelasnya, pemimpin sama seharusnya tidak sibuk dengan propaganda yang tidak berasas dan bersikap seperti kebudak-budakan kerana tidak dapat berfikir secara matang
“Sejak bila pula PH mengaku membangunkan kawasan Serembu selama ini. Kalau mahu terkenal menjelangnya Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) nanti, janganlah membuat publisiti murahan dengan menafikan pembangunan yang dibawa kerajaan sebelum ini.
“Pemimpin PH perlu ingat, mereka harus tidak gelar wakil-wakil rakyat yang menang dalam PRN11 lalu sebagai pembangkang di Sarawak kerana kami merupakan kerajaan yang dipilih rakyat,” ujarnya.
Sambil menambah, sekiranya pemimpin PH sekadar bertandang dengan membawa air liur basi, jadi adalah lebih baik mereka ‘menyembah’ pemimpin utama PH di Semenanjung Malaysia untuk membawa masuk peruntukan besar ke Sarawak dan Serembu khasnya.
Semalam DayakDaily melaporkan masyarakat Bidayuh Serembu diminta tidak terus membiarkan diri mereka ‘diperkuda’ dengan pelbagai dakyah oleh pihak pembangkang.
Pegawai Perhubungan Kawasan DUN Serembu merangkap Ketua Penerangan Wanita Keadilan Sarawak, Athina Sim berkata, kaum Bidayuh secara amnya perlulah bangkit demi Sarawak tercinta.
“Ternyata kita telah merempuh kubu kuat pembangkang di Kampung Skio di sini.
“Saya bangga akan semangat kental kalian semua. Dengan kekuatan dan keberanian kalian semua kita yakin bahawa tidak ada yang mustahil,” katanya dalam Majlis Ramah Tamah Raya Gawai Kampung Skio di sini. — DayakDaily