Padah bertaruh perlawanan Piala Dunia 2018, tiga lelaki diberkas

Polis menahan suspek selepas disyaki terlibat dalam pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2018.

SIMUNJAN, Jun 19: Tiga lelaki yang leka membuat pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 dicekup dalam satu serbuan di Bazar Simunjan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC, Denis Leong Soon Kuai berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 46 tahun itu diberkas pada pukul 6.30 petang.

Katanya, tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan sebelum itu.


“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah melakukan serbuan dan tangkapan ke atas suspek-suspek terlibat.

“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,026 disyaki hasil pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Leong menambah, polis turut merampas kertas pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily