Masyarakat Bidayuh di Serembu perlu bangkit demi Sarawak tercinta — Athina Sim

Athina (duduk enam dari kanan) merakamkan gambar bersama penduduk Kampung Skio.

BAU, Jun 18: Masyarakat Bidayuh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu diminta tidak terus membiarkan diri mereka ‘diperkuda’ dengan pelbagai dakyah oleh pihak pembangkang.

Pegawai Perhubungan Kawasan DUN Serembu merangkap Ketua Penerangan Wanita Keadilan Sarawak, Athina Sim berkata, kaum Bidayuh secara amnya perlulah bangkit demi Sarawak tercinta.

“Ternyata kita telah merempuh kubu kuat pembangkang di Kampung Skio di sini.


“Saya bangga akan semangat kental kalian semua. Dengan kekuatan dan keberanian kalian semua kita yakin bahawa tidak ada yang mustahil,” katanya dalam Majlis Ramah Tamah Raya Gawai Kampung Skio di sini.

Athina menambah, permainan politik pembangkang yang menimbulkan pelbagai isu hanya hanya akan merugikan negara.

Katanya, semua parti politik perlu menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang telah ditentukan pengundi serta kembali kepada tujuan asal iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Pujian harus diberikan kepada warga DUN Serembu yang nyata bekerja keras dalam memenangi hati rakyat dalam PRU14 lepas walaupun ada ketikanya mereka terhimpit dengan sesuatu isu sebelum itu.

“Sehubungan itu, kaum Bidayuh di Serembu khasnya perlu terus menyokong sepenuhnya segala usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya. — DayakDaily