Jamin keselamatan penggunan Vaksin Covid-19 sebelum tawarkan kepada rakyat

Abun Sui Anyit (file photo)

KUCHING,30 Jan: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Hulu Rajang mahu melihat semua pemimpin tertinggi negara termasuk wakil–wakil rakyat kerajaan di Sarawak untuk disuntik terlebih dahulu dengan vaksin Covid-19 sebelum menawarkan penggunaannya kepada rakyat.

Ketua Cabang Keadilan Hulu Rajang Abun Sui Anyit berkata, tindakan itu perlu agar kerajaan dapat mengesahkan dan seterusnya memberikan jaminan keselamatan penggunaan vaksin tersebut.

Katanya, tindakan tersebut secara tidak langsung akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin tersebut selamat untuk digunakan.


“Kita sudah melihat dan menyaksikan ketua–ketua negara lain seperti Presiden Amerika Syarikat yang baharu Joe Biden, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah menunjukkan contoh kepada rakyat masing–masing dengan menerima suntikan vaksin terlebih dahulu sebelum menawarkannya kepada rakyat mereka dan ia disiarkan menggunakan saluran berita perdana negara masing–masing.

“Kepimpinan melalui teladan ini wajar diamalkan dalam perkara yang sebegini bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap keselamatan penggunaan vaksin tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun ‘dry run’ penghantaran vaksin covid-19 ke klinik kesihatan Belaga berjaya dilakukan dengan selamat namum masih tidak jelas tindakkan yang akan di lakukan kerajaan berhubung penggunaan vaksin itu kelak.

Justeru ujarnya, menteri berkaitan atau kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab terhadap penggunaan dan ujian vaksin tersebut harus memberikan penjelasan yang sepatutnya berhubung pekara tersebut.

Ia penting bagi mengelakkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat berkenaan tujuan serta kaedah yang digunapakai oleh kerajaan berkenaan penggunaan vaksin itu selain bagi  membina keyakinan rakyat terhadap vaksin terbabit. — DayakDaily