Golongan nelayan terus dibantu — Ahmad Shabery

Ahmad Shabery (dua kiri) bersama Rohani (dua kanan) melakukan tinjauan mesra di sekitar Pekan Sebuyau.

SEBUYAU, April 18: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada nelayan di negara ini dalam usaha meningkatkan status sosial ekonomi golongan tersebut.

Menerusi jabatan dan agensi di bawah MOA, antara kemudahan serta bantuan yang disediakan ialah seperti jeti pendaratan ikan, subsidi minyak, insentif pendaratan ikan, elaun sara hidup nelayan darat dan laut serta projek-projek perumahan nelayan.

Menteri Pertanian Dan Industri Asas
Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kemudahan dan bantuan itu bagi memastikan kebajikan golongan tersebut terjamin dan tidak terpinggir dari arus pemodenan semasa.


Jelas beliau, pada masa yang sama, nasib nelayan yang berdaftar juga terbela apabila dilindungi skim insurans sehingga usia mereka sehingga 80 tahun.

“Bayaran yang dikenakan pun tidak tinggi, hanya sebanyak RM150 untuk tempoh setahun.

“Menarik perhatian, bayaran itu boleh dilakukan menerusi pemotongan elaun sara hidup yang diterima mereka,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Nelayan Sebuyau di sini semalam.

Hadir sama ialah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Ahmad Shabery menambah, menerusi skim insurans tersebut, jumlah premium yang diberikan kepada kumpulan sasar itu adalah berjumlah RM221,150. — DayakDaily