Jambatan Sg Katibas Belum Selamat Untuk Digunakan

Advertisement

KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi memberi penerangan mengenai Jambatan Sungai Katibas yang belum selamat untuk digunakan menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Jelas beliau, pembinaan jambatan tersebut tidak dapat disiapkan pada bulan Mac yang lalu kerana memerlukan perubahan dari rekabentuk dan spesifikasi tiang.

“Walaupun jambatan Sungai Katibas telah bersambung tetapi ianya masih dalam proses pembinaan fasa terakhir dan masih tidak selamat untuk digunakan.”

Advertisement

“Sehubungan dengan itu, kontraktor yang terlibat telah diberi Extension Of Time (EOT) sehingga bulan Julai bagi memastikan jambatan tersebut siap dan selamat digunakan oleh orang ramai.”

“Semasa lawatan saya ke tapak pembinaan 3 minggu lepas, saya juga mendapati jalan dari jambatan tersebut sehingga Kapit terutamanya di Nanga Sebatu juga masih tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan.”

“Oleh itu, saya berharap orang ramai akan memahami keadaan ini kerana kita ingin memastikan jambatan tersebut selamat untuk digunakan,” tambah beliau.

Jambatan Katibas yang menelan kos sebanyak RM71.5 juta itu di Song itu adalah sebahagian daripada pakej projek pembinaan Jalan Kanowit-Song-Kapit.

Apabila projek tersebut siap kelak, ia akan menghubungkan jalan sepanjang 5.4 kilometer iaitu dari Jalan Takan (Song) hingga ke Sungai Embuau.

Datuk Alexander juga berharap pihak yang tidak bertanggungjawab tidak menggunakan keadaan untuk menghasut orang ramai untuk kepentingan politik sebaliknya membantu untuk menyampaikan berita yang sahih mengenai pembinaan jambatan tersebut. – dayakdaily.com

Advertisement