Jambatan Batang Lupar 2 buka kawasan pertanian moden, kata Abang Johari

Abang Johari meletakan 'benet' sebagai simbolik perasmian Pesta Benak 2022.
Advertisement

SIMANGGANG, 10 Sept: Jambatan Batang Lupar 2 apabila siap kelak akan membuka lebih banyak kawasan bagi sektor pertanian moden.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan tersebut akan menghubungkan Bandar Simanggang ke Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir seterusnya ke Betong.

“Siap kelak sudah tentu ia akan membuka kawasan sekitar dan kita bangunkan sektor pertanian moden.

Advertisement

“Sri Aman juga telah dikenalpasti sebagai satu kawasan pengeluarkan padi untuk kegunaan seluruh negara.

“Ini bermakna kita akan membina infastruktur yang memerlukan peruntukan besar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Benak 2022 di sini, hari ini.

Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter yang sedang dalam pembinaan dijangka siap pada September 2024.

Menurut Abang Johari, peruntukan untuk membina semua infrastruktur bagi merealisasikan pertanian moden sudah dibincangkan dengan kerajaan pusat.

Katanya, ia akan dibina bersama diantara kerajaan pusat dan negeri.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah akan ditukar kepada nama baharu.

Ujarnya, kementerian dengan nama baharu (Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah) akan memberi fokus kepada industri makanan.

“Kita ubah pendekatan sektor pertanian kita. Saya tidak mahu kementerian ini dengan gambaran muka orang susah.

“Siapa nak jadi petani jika mukanya susah seriap masa serta membawa cangkul, bagaikan petani ini hidup susah 24 jam.

“Sebenarnya sektor pertanian ini sangat penting yang menggunakan kaedah baru termasuk teknologi digital teknologi dalam pengeluaran makanan,” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement