Jalan satu hala dibuka di Jambatan Sg Bintangor esok, kerja pembaikan di Jalan Kpg Plaie 5-21 Okt

Peta menunjukkan pembukaan jalan satu hala di Jambatan Sungai Bintangor, Jalan Ajibah Abol pada 5 Okt. Kredit foto: JKR Sarawak

KUCHING, 4 Okt: Pengguna jalan raya kini boleh menarik nafas lega apabila jalan satu hala di Jambatan Sungai Bintangor, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini akan mula dibuka.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata kerja-kerja pembukaan jalan satu hala tersebut akan dilaksanakan esok.

Walau bagaimanapun, pengguna jalan raya diminta untuk mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan di sekitar kawasan yang terlibat serta arahan penjaga bendera untuk melancarkan pergerakan trafik.


Pembinaan jambatan tersebut yang bermula sejak tahun 2019 masih dilaksanakan dan dijangka siap tahun hadapan.

Sebelum ini, penutupan jambatan tersebut telah menyebabkan pengguna jalan raya perlu menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Satok, atau membuat pusingan di bawah Jambatan Satok melalui Jalan Satok-Kulas Interchange untuk masuk ke Kampung Nombor 1-6.

Sementara itu, di Bahagian Samarahan, JKR Sarawak akan melakukan kerja-kerja pembaikan jalan di Jalan Kampung Plaie (Q1170) bermula esok sehingga 21 Oktober.

Oleh itu, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan diminta untuk sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan serta arahan penjaga bendera untuk melancarkan pergerakan trafik. — DayakDaily