Jalan Rebak dan Jalan Asajaya Ulu ke Asajaya Laut sedang dinaik taraf

Kerja-kerja menaik taraf Jalan Rebak dan Jalan Asajaya Ulu sedang giat dilakukan

KUCHING, 24 April: Kerajaan kini sedang giat melakukan kerja-kerja menaik taraf Jalan Rebak dan Jalan Asajaya Ulu ke Asajaya Laut di daerah Asajaya.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pelebaran jalan di laluan berkenaan.

Penaiktarafan jalan berkenaan dibiayai menerusi peruntukan di bawah Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA).


Ia melibatkan peruntukan lebih RM40 juta termasuk kerja menaik taraf Jalan Sebandi Ulu ke Sebandi Matang.

Pada Jumaat lepas, MP Kota Samarahan Rubiah Wang telah melakukan tinjauan ke lokasi kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan bagi memastikan kelancaran kerja dalam menyediakan jalan yang selamat dan selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek menaik taraf jalan Rebak, Asajaya dan Sebandi merupakan inisiatif kerajaan Sarawak menerusi IRSDA yang ditubuhkan bagi merancakkan pembangunan, khususnya di kawasan jalan pesisir yang kini menjadi laluan utama kenderaan dari Miri, Bintulu dan Sibu ke Kuching.

“Saya menghargai keprihatinan kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan masalah jalan ini dengan berkesan sekaligus memahami isi hati rakyat yang memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, elektrik dan air,” kata Rubiah.

Mengulas berhubung masalah jalan utama dari Jambatan Moyan ke Jambatan Serpan, Rubiah berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan dari persimpangan susur keluar laluan Jambatan Batang Samarahan sedang giat dijalankan sehingga ke daerah Asajaya.

Beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya Bahagian Samarahan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan beberapa masalah jalan di bahagian tersebut. — DayakDaily