Jalan Meritam-Telahak-Buangabai memendekkan perjalanan sebanyak 13km

Jalan Meritam-Telahak-Buangabai. Foto: JKR Sarawak

KUCHING, 2 April: Perjalanan dari Meritam ke Limbang dipendekkan sebanyak 13 kilometer dengan siapnya Projek Fasa 4 Jalan Meritam-Telahak-Buangabai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan berkata, ia memberi penjimatan masa perjalanan sebanyak 15 minit.

“Projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan telah disiapkan pada 28 Disember 2022.


“JKR Sarawak merupakan agensi pelaksana dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia adalah klien projek,” menurut kenyataan itu.

Katanya, pelan pembinaan jalan telah direka bentuk sendiri oleh pasukan projek JKR Sarawak manakala Jurutera Bahagian Limbang adalah Pegawai Penguasa Projek dan Timbalan Jurutera Bahagian Limbang (Pembangunan) sebagai Pengurus Projek.

“Projek ini merupakan sambungan daripada projek Jalan Meritam Fasa 1, 2 dan 3.

“Projek jalan sepanjang 9.55 kilometer dengan lebar 6 meter ini telah direka bentuk untuk jangka hayat 10 tahun, JKR R.C. Standard dan ‘single carriage way’,” kata JKR.

Skop pembinaan juga merangkumi dua buah jambatan iaitu Jambatan Sungai Berawan sepanjang 60 meter dan Jambatan Sungai Lubai sepanjang 7.5 meter. — DayakDaily