Jalan Bukit Song, Lambir di Miri runtuh


MIRI: Keadaan hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu di sekitar bahagian ini dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Kilometer 22, Jalan Bukit Song, Lambir di sini hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.33 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerahkan ke lokasi untuk tindakan selanjutnya.


“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlakunya mendapan serta runtuhan tanah pada laluan sebelah kiri dari arah Miri menuju ke Bintulu.

“Pasukan polis turut turun ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan lalu lintas di situ sementara menunggu ketibaan pihak Lebuhraya Borneo Utara (LBU) bagi tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Poh Kiong menambah, keadaan tersebut telah mengakibatkan pergerakan lalu lintas di situ terjejas dan agak perlahan.

Jelas beliau, setakat ini hanya terdapat satu lorong sahaja yang dapat dilalui oleh kenderaan.

“Namun, setakat ini kita tiada menerima sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.

“Pada masa sama, kita ingin menasihatkan supaya pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif iaitu jalan pesisir Miri-Bintulu untuk ke destinasi masing-masing,” katanya. -dayakdaily.com