InTEX Platform Terbaik Promosi Hasil Penyelidikan dan Inovasi

Annuar (tiga kiri) melihat hasil penyelidikan pelajar yang diketengahkan pada pameran InTEX.

KOTA SAMARAHAN:Pameran Inovasi dan Teknologi (InTEX) 2017 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjadi platform terbaik kepada para penyelidik untuk mempromosikan hasil-hasil penemuan penyelidikan dan inovasi masing-masing, selain mewujudkan peluang-peluang kolaborasi perindustrian, pelaburan dan pengkomersialan.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapaee berkata, kerajaan negeri amat menyambut baik inisiatif Unimas dalam usaha untuk memartabatkan lagi bidang sains dan teknologi (S&T) di negara ini.

“Saya yakin InTEX ini akan menyuburkan kelestarian budaya penyelidikan dan juga akan memartabatkan transformasi teknologi terkini yang akan memberi impak dan nilai tambah kepada kemaslahatan komuniti sejagat.


“Ini bertepatan dengan tema pameran ini iaitu ‘kekuatan penyelidikan dan inovasi bagi kemapanan komuniti’ yang menterjemahkan komitmen Unimas kepada komuniti dan masyarakat untuk menyokong dan mendokong aspirasi serta keperluan komuniti tempatan dengan mengeksploitasi sepenuhnya kekayaan sumber semula jadi sedia ada yang boleh dijadikan bahan dan sumber penyelidikan baharu yang boleh diterokai,” katanya di majlis penutupan InTEX di DeTAR Putra, di sini, hari ini.

Pameran kali ini berjaya mengumpul sebanyak 305 pempamer dengan 274 orang penyelidik Unimas dan 31 orang penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kebangsaan dan antarabangsa yang menggarap empat kluster utama penyelidikan di Unimas.

Katanya,program itu wajar diketengahkan kepada pengetahuan masyarakat umum dan setempat agar dapat turut serta untuk bersama-sama menyemarakkan dan menyuburkan lagi budaya penciptaan, berinovasi dan berkreativiti di kalangan komuniti tempatan khususnya generasi muda.

“Ini adalah selari dengan salah satu cabaran dalam Wawasan 2020 yang menjurus kepada pengupayaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi yang progresif,kreatif inovatif serta berpandangan jauh.

“Inisiatif ini juga akan melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja akan dapat memanfaatkan teknologi terkini tetapi juga sebagai penyumbang kepada kemajuan peradaban sains dan teknologi pada masa akan datang,” katanya.